Aktiviti PEGIM

PEGIM adakan kunjungan terhadap Ewon

4 September 2025 | KUALA LUMPUR : Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick menerima kunjungan daripada Persatuan Pajak Gadai Islam Malaysia (PEGIM).

Dalam kunjungan itu, Ewon turut mengadakan perbincangan bersama persatuan itu bagi membincangkan beberapa perkara termasuk isu-isu serta cabaran yang dihadapi oleh koperasi-koperasi yang menawarkan perkhidmatan Ar-Rahnu.

Pertemuan dengan Menteri KUSKOP yang diadakan itu turut memberi peluang kepada persatuan bagi berbincang tentang usaha-usaha yang perlu diberi pertimbangan dalam memastikan rangkaian Ar-Rahnu dapat diperkembangkan lebih meluas.

Ewon berkata, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan agensinya iaitu Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sedang di peringkat akhir bagi menyiapkan pindaan Garis Panduan berkaitan aktiviti Ar-Rahnu koperasi.

Beliau turut menyambut baik kerjasama antara pemain industri pajak gadai Islam Ar-Rahnu bersama SKM dan KUSKOP, yang diyakini berupaya memajukan lagi perkhidmatan kewangan mikro kredit.

Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah Berhad (KOPEKS) adalah ahli kepada PEGIM, dan merupakan wakil Sabah ke perjumpaan bersama Menteri KUSKOP.

Turut hadir dalam kunjungan dan pertemuan itu ialah Pengerusi KOPEKS, Datuk Dr. Haji Saat Haji Ag Damit; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KOPEKS, Buvil Angkui dan Pengerusi PEGIM Haji Azwani Assad yang juga CEO Rakyat Management Services Sdn Bhd (anak syarikat Bank Rakyat).

Dalam pada itu, Azwani turut merakamkan penghargaan kepada Ewon atas kesudian beliau menerima kunjungan rombongan PEGIM di pejabat KUSKOP di ibu negara.

Beliau yakin kepimpinan Menteri KUSKOP (Ewon) berupaya menganjakkan lagi kemajuan perniagaan serta perkhidmatan Ar-Rahnu di negara ini, hasil perbincangan positif bersama kementerian dan agensi terlibat dalam kunjungan yang diadakan kelmarin.