Aktiviti PEGIM

KUNJUNGAN HORMAT DAN SESI LIBAT URUS PEGIM BERSAMA BAHAGIAN DASAR AR-RAHNU, KPKT

PUTRAJAYA, 12 Ogos 2026 – Persatuan Pajak Gadai Islam Malaysia (PEGIM) telah mengadakan kunjungan hormat dan sesi libat urus bersama Bahagian Dasar Ar-Rahnu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Putrajaya.

Sesi ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan PEGIM dalam memperkukuh hubungan strategik dengan pihak kerajaan serta mendapatkan pandangan dan perkembangan terkini berkaitan dasar, perundangan dan hala tuju industri Ar-Rahnu dan Pajak Gadai Islam di Malaysia.

Antara perkara utama yang dibincangkan adalah berkaitan perkembangan pelaksanaan Consumer Credit Act (CCA) 2025, khususnya implikasinya terhadap industri Pajak Gadai Islam serta landskap kawal selia yang melibatkan pelbagai pihak berkuasa.

Dalam sesi libat urus tersebut, PEGIM turut mendapatkan penjelasan berkaitan peranan dan bidang kuasa KPKT dalam aspek dasar serta kawal selia industri Pajak Gadai Islam, di samping berkongsi pandangan dan input daripada perspektif penggiat industri.

PEGIM berpandangan bahawa sesi libat urus seperti ini amat penting bagi memastikan sebarang perkembangan dasar dan kawal selia dapat difahami dengan jelas oleh pemain industri, selain memberi ruang kepada pihak industri untuk menyampaikan pandangan, cabaran serta cadangan penambahbaikan.

Sehubungan itu, PEGIM akan terus memperkukuh kerjasama dan komunikasi dengan KPKT serta pihak berkepentingan lain bagi memastikan kepentingan industri Ar-Rahnu sentiasa diberi perhatian dalam pembentukan dasar dan kerangka kawal selia yang berkaitan.

PEGIM komited untuk terus menjadi penghubung strategik antara penggiat industri dan pihak kerajaan dalam usaha membangunkan ekosistem Ar-Rahnu yang lebih tersusun, berdaya tahan, profesional dan memberi manfaat kepada pengguna.

Sekretariat PEGIM